Pejuang Cipta Rekod Memalukan

Setiap parti politik mempunyai cita-cita untuk mencipta rekod.
Ada yang mahu memecahkan rekod majoriti undi terbesar, ada yang ingin menawan sesebuah negeri buat kali pertama.
Pejuang juga mencipta rekod namun rekod yang belum pernah dibuat oleh parti-parti politik lain di negara ini.
Rekod itu tidaklah membanggakan bagi sesebuah parti namun menjadi bukti Pejuang tidak pernah diterima oleh rakyat selama ini.
SUMBER: https://www.malaysiakini.com/news/614187

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Pejuang meletakkan calon di 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Keputusannya adalah 42 calon dihantar bertanding, 42 kalah dan kesemua 42 calon hilang wang deposit.
Sebanyak RM210,000 wang parti diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tanpa membawa pulang walau satu kerusi.
Lihat sahaja angka di beberapa kerusi.
Di Buloh Kasap, calon Pejuang hanya memperoleh 144 undi. Di Senggarang, 162 undi. Di Bukit Pasir, 196 undi. Di Simpang Jeram, 197 undi. Di Rengit, 202 undi. Di Gambir, 215 undi. Di Tenang, 224 undi. Di Batu Kemelah, 289 undi.
Itu bukanlah angka sebuah parti yang diasaskan oleh seorang bekas Perdana Menteri.
Itu angka yang biasanya dikaitkan dengan calon bebas yang tidak dikenali.
Malah di beberapa kawasan, calon bebas memperoleh lebih banyak undi daripada calon Pejuang.

Jika keputusan PRN Johor memalukan, penjelasan oleh pemimpin Pejuang lebih memalukan.
Pengerusi Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tampil dengan alasan bahawa parti itu kalah kerana logonya.
Dia mendakwa parti itu baru didaftarkan kurang tujuh bulan dan logonya tidak dikenali ramai.
Mukhriz turut menyalahkan peratusan keluar mengundi yang rendah.
Namun, Pejuang tidak bertanding dengan wajah yang tidak dikenali.
Parti itu menjual nama Mahathir, tokoh paling dikenali ramai dalam politik Malaysia selama empat dekad.
Jika pengundi mengenali Mahathir tetapi tetap tidak mengundi Pejuang, masalahnya bukan pada logo.
Masalahnya terletak pada mesej, calon, jentera dan kredibiliti parti.

Sebuah parti yang matang akan menjadikan kekalahan sebesar itu sebagai titik untuk bermuhasabah.
Pejuang bagaimanapun tidak berbuat demikian.
Lapan bulan kemudian, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), sejarah berulang semula namun dalam skala yang lebih besar.
Bertanding sebagai sebahagian daripada Gerakan Tanah Air (GTA), gabungan pimpinan Pejuang bertanding di 125 kerusi Parlimen dan sekali lagi tidak memenangi satu pun kerusi.
Mukhriz pula hanya memperoleh 3,144 undi atau 6.02 peratus di Jerlun, kerusi yang pernah dimenanginya dua kali, lalu menduduki tempat keempat dan turut hilang deposit.

Rekod 42 kerusi, 42 kekalahan dan 42 wang deposit hangus mungkin tidak akan dipecahkan oleh mana-mana parti lain.
Mungkin lagi 30 tahun tiada parti akan memecahkan rekod itu.
Pejuang mengajarkan satu perkara penting dalam politik Malaysia.
Kewujudan nama besar tidak akan menjamin sokongan dan populariti seorang tokoh sukar menggantikan keberkesanan jentera, dasar serta calon yang dipercayai rakyat.
Pejuang juga enggan mengakui kesilapan mereka dan terus mengulangi pola sama dalam pilihan raya.
Comments
Post a Comment